Apabila kita menyemai biji benih, terdapat satu soalan penting yang akan bermain di minda kita. Bilakah masa sesuai untuk memindah anak benih setelah ia bercambah?

Sebelum kita mengetahui masa sesuai untuk pindah anak benih, biarlah saya beri penerangan tentang proses percambahan. Biji benih sayur biasa akan mengambil dua hingga seminggu untuk bercambah. Ketika bercambah anak benih akan mengeluarkan dua daun kotiledon untuk proses fotosintesis. Apabila anak pokok semakin membesar, akan tumbuh daun sebenar. Daun sebenar inilah rupa daun betul pokok tersebut. Dua daun kotiledon yang asal hanyalah sebagai pembantu.

 

Di sini saya berikan 5 tip agar anak benih kita berada dalam keadaan baik untuk membesar dan terus membesar membekalkan kita makanan yang sihat untuk seisi keluarga!

Daun Sebenar

1. Pastikan daun sebenar muncul

Ketika tumbuh daun sebenar inilah tanda anak pokok sudah boleh dipindahkan ke media yang lebih sesuai. Pertumbuhan daun sebenar menandakan anak pokok sudah mempunyai akar yang kuat untuk mencari makanan sendiri.

Biasanya kita akan pindah anak pokok apabila terdapat dua hingga empat daun sebenar. Tempoh untuk anak pokok mengeluarkan daun sebenar adalah di antara dua hingga tiga minggu selepas bercambah.

Dalam buku orang puteh, banyak ditekankan waktu pemindahan sama ada di waktu musim bunga, panas, luruh atau sejuk. Di Malaysia mana ada musim-musim begitu. Jadi, kita hanya akan pindah pokok apabila munculnya daun sebenar lebih daripada 2. Tetapi jangan lambat sangat pindah atau nanti akar sudah berserabut. Apabila akar sudah berserabut, ini akan menyukarkan lagi proses pemindahan anak pokok ke dalam pasu lebih besar atau atas tanah atau batas.

2. Siram sejam sebelum dipindahkan

Apabila kita ingin memindahkan anak pokok ke atas batas atau pasu yang lebih besar, pastikan kita menyiram dahulu anak pokok itu. Ini agar proses penyerapan air berlangsung semasa proses pemindahan berlaku.

3. Pindah di tempat redup

Anak pokok adalah seperti bayi yang baru lahir. Ia memerlukan jagaan yang rapi agar proses tumbersarannya berjalan dengan baik. Cahaya matahari terik mampu membuatkan anak pokok mudah layu selepas dipindahkan. Pastikan jika kita memindah ke atas batas, terdapat pelindung agar anak pokok dapat berteduh selama seminggu sebelum ia kuat. Jika tanam di dalam pasu, letakkan di tempat redup dahulu sebelum pindah di tempat yang terkena cahaya matahari penuh.

4. Pembajaan

Ramai yang lupa bahawa anak pokok juga memerlukan baja untuk pembesaran yang sihat dan kuat. Apabila kita pindah di tempat baharu, letakkan baja organik atau baja NPK hijau. Letak berdasarkan dos yang disyorkan. Biasanya saya letak satu sudu teh untuk setiap satu anak pokok.

5. Kelembapan media baru

Pastikan selepas kita memindah kita terus menyiram anak pokok. Kita tak mahu anak pokok kering kehausan selepas terkejut dengan persekitaran barunya.

 

Apa akan terjadi jikalau dibiarkan di tapak semaian?

Kemungkinan besar anak pokok akan terbantut kerana akar pokok akan mula mengeras dan berserabut di satu tempat. Jadi, pastikan kita memindah anak pokok tepat pada masanya agar penanaman berjalan dengan lanccar.

Tidak Mahu Terlepas Maklumat Terkini Kebun Bandar?
Saya nak kongsi PERCUMA je buat masa ni. Cepat join!

LANGGAN EMEL KEBUN BANDAR

Masukkan nama dan alamat emel anda

*Kami hormati privasi anda. Bila-bila masa anda boleh berhenti melanggan.